Monday, February 22, 2010

Hatiku Sayang


Wahai hati,

Tubuh ini merasa getarannya,

Sakit yang mendakap engkau,

Sedang membarah,

Menular di setiap saraf,

Apa gerangan wahai raja,

Sehingga keadilanmu merintih dizalimi?

Wahai hati,

Cukuplah dalam lamunan itu,

Berhenti dari mimpi,

Kerana angan-angan,

Tidak menjadi tombak yang menusuk iblis,

Bahkan,

Fatamorgana yang mencekikmu mati.

Wahai hati,

Keimanan tidak datang dengan penungguanmu,

Ketakwaan tidak pula berkuasa dengan kepasrahanmu,

Keterbukaanmu kepada kekalahan ini,

Tidak menjemput keazaman.

Wahai hati,

Bangun dan berjalan gagahlah,

Bicarakan kalimat pimpinanmu,

Agar aku bisa menjadi aku,

Yang berjalan di jalan yang benar,

Kerana hanya dengan pimpinanmu yang adil,

Duri yang mencucuk kaki terasa nikmat,

Dada yang ditusuk tombak,

Umpama belaian seorang kekasih,

Hanya jika,

Keadilanmu adalah kerana Allah.


Wassalam.

No comments:

Post a Comment